Sunday, April 15, 2012
Alhamdulillah..syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah rahmatnya masih lagi memberi kesempatan untuk menulis sedikit perkongsian buat renuangan bersama. Dalam sebuah buku bertajuk "KITA TENGGELAM DALAM NAFSU" hasil tulisan Sofian Resali (salah seorang penulis dalam I Luv Islam) terdapat satu bahagian yang menarik untuk dikongsikan bersama para sahabat iaitu:
Seorang ulama besar iaitu Syeikh Abdul Kadir al-Jailani pernah berpesan agar kita sentiasa 'memeriksa' diri. Semoga ia dapat memberikan manfaat dalam melayari kehidupan ini. Begitu juga supaya dapat memajukan diri.
Beliau berkata:
"Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik daripadamu. Ucapkanlah dalam hatimu, "Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan mulia".
"Jika bertemu anak kecil, maka ucaplah dalam hatimu, "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku."
"Jika bertemu orang tua, maka ucaplah dalam hatimu, "Dia telah beribadat kepada Allah jauh lebih lama daripadaku, tentu dia lebih baik daripadaku".
"Jika bertemu dengan orang yang berilmu, maka ucapkanlah dalam hatimu, "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperoleh, mencapai kedudukan yang tidak akan kucapai, mengetahui apa yang tidak kutahui dan mengamalkan ilmunya. Tentu dia lebih baik daripadaku".
"Jika bertemu dengan orang jahil, maka katakanlah dalam hatimu, "Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia jahil (tidak tahu) sedangkan aku bermaksiat kepadaNya dan aku mengetahui akibatnya. Aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik daripadaku".
"Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah dalam hatimu, "Aku tidak tahu bagaimana keadaanya kelak, mungkin pada akhir usianya, memeluk Islam dan beramal soleh. Mungkin boleh jadi pada akhir usiaku kufur dan berbuat buruk."
Itulah antara kata-kata seorang ulama besar mengenai bagaimana kita harus pandang seseorang. Jika sebelum ini kita sering kali memandang seseorang dengan merasakan diri kita lebih hebat, ayuh kita sama-sama ubah sikap atau perangai lama itu. Akhir kata, mari kita sama-sama renungkan kata-kata hikamah dari Sayidina Ali Bin Abi Talib iaitu:
"SESIAPA YANG MENGHIASI DIRINYA DENGAN SIKAP INSAF, NESCAYA IA AKAN SAMPAI KEPADA MARTABAT ORANG YANG MULIA"
InsyaALLAH...
0 comments:
Post a Comment