WELCOME TO THIS PAGE!!!

Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi ilmu akan berkembang jika di gunakan..

Menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah dari melaksanakan sepotong pesanan...

Ulama-ulama Negeri Kelantan

Monday, August 15, 2011

Tok Kenali
(Haji. Mohd Yusoff Ahmad)

Tokoh Ulama Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama besar Semenanjung Melayu. Sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah) Haji Abdul Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar), Haji Mat Shafie Losong(Terengganu) dll. Guru Pondok yang sangat dihormati bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.
Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd Yusoff Ahmad.

Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H - 1327H). Sangat alim dalam ilmu Tatabahasa Arab (nahu/soraf) malahan beliaulah yang merintis kemasukkan mata pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajin pondok (sebelum itu, tertumpu pada usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tok Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis yang paling berwibawa - bukan sahaja di negeri Kelantan tetapi juga di luar negeri Kelantan. Antara murid murid jempolannya termasuklah Hj, Mat Jebeng (kemanakkannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj.Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Abdul Kadir Melor , Haji Abdul Tahir Bunut Payong, Hj. Yusof Padang Bemban, Haji Ismail Perol, Dato' Haji Ismail Yusoff, Hji Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Haji Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato' Haji Hassan Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor) , Dato' Haji Abdul Rahim Yunus Bongek Rembau , Syeikh Mohd Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Haji Osman Bukit Besar , Haji Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Haji Hassan Lampung, Haji Yaakub Legor dan Tok Lata (Pattani).
Di samping itu dua orang putera Tok Kenali sendiri - Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd Salleh Kenali (menetap di Makkah) - juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjaya besar.

Nyatalah rumusan…yang menyebut Kelantan sebagai "Serambi Mekah" itu sangat terkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.
Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.


Haji Abdul Malik Sungai Pinang
(Haji Abdul Malik Bin Hasan)

Tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok Mesir, Tok Ayah Kerasak, Haji Nik Mat Dagu dan Haji Ismail Pengkalan Paung.Rakan akrab Haji Abdul Latif Jalaluddin ( Bilal Masjid Kayu Kota Bharu ). Nama penuhnya ialah Haji Abdul Malek bin Hasan.Lahir di Kg Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin.Menuntut ilmu di Pattani dan kota suci Makkah selama 14 tahun.Beliau masyhur alim Quran dan kitab Jawi. Selain mengajar al-Quran dan kitab Jawi, beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel utama yang dijadikan pakar rujuk oleh Sultan Mansor Ibn Sultan Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh, hukuman ta'zir kepada orang yang tidak berpuasa (diarak keliling pekan) dan tidak menutup aurat (dilumur belakang).

Kebanyakkan murid-murid Tuan Guru Haji Abdul Malek diberkati Allah dengan ilmu mereka serta berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing.Antara murid-murid kenamaannya: Tok Jerulung @ Haji Mohd Said Muhammad, Haji Samad Hasan Padang Chenok, Haji Che Mat Taib Pasir Pekan Hilir, Haji Ismail Musa Temangan, Haji Wan Abdullah Kg.Chap/Sungai Pinang, Wak Haji Khatib Ahmad Bemban/Binjai, Tok Kedah @ Haji Idris Penggawa Kangkong, Haji Mahmud Ali (Imam Kangkong), Haji Daud Saamah (bapa kepada Tuan Guru Haji Saad Kangkong), Haji Mohd Akib Ismail Kg.Kelar, Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas, Tuan Guru Haji Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas Pondok Padang Jelapang, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Osman (pensasas Pondok Selehong), Tuan Guru Haji Yusuff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), Haji Ibrahim Tok Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Haji Seman Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama Syeikh Osman Jalaluddin al-Kelantan)

Datuk kepada Dato' Dr.Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini kembali ke rahmatullah di Sungai Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Desember 1934.


Haji Ali Pulau Pisang
(Haji Mohd Solahuddin Bin Awang)

Salah seorang guru pondok pertengahan abad ke - 20 yang paling ternama di Kelantan. Murid harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi ilmu tatabahasa Arabnya. Seangkatan dengan Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Awang Lambor dan Haji Awang Serendah, rakan karib Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang Tuman.

Nama penuh tokoh ulama kelahiran mukim Pulau Pisang, daerah Badang, Kota Bharu ini ialah Haji Mohd Ali Solahuddin bin Awang. Ibunya bernama Wam Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9 beradik.

Selain Tok Kenali, guru-guru tempatan lainnya termasuk juga Haji Abdul Malek Sungai Pinang, Haji Yusoff Sungai Pinang ( kemudian lebih dikenali dengan nama Tok Pulau Ubi ), Tok Kemuning ( di Pulau Kundur ), Haji Omar Sungai Keladi, Pak Chik Musa,Haji Yaakub Legor dan Hai Ahmad Hafiz.

Namanya 'timbul' kerana kealimannya dalam ilmu soraf ( cabang tatabahasa Arab ) sehingga digelar "Tok Sibaweh". Tidak hairanlah jika Madrasah al-Falah Pulau Pisang senang menjadi tarikan para pelajar pondok. Sementelahan pula, seawal 1932 lagi, Haji Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan ( MAIK ) yang dipengerusikan oleh Dato' Hajin Ahmad Maher al-Azhari ( Mufti Kerajaan Kelantan ). Berikutan dengan kematian Haji Saad Kangkong (1943), beliau dipinjam sebagai guru agama Kelas Khas di Jami' Merbau al-Ismail ( pusat pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama di Kelantan ) yang menampung ramai pelajar elit dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad 1940-an, berkhidmat sehingga 1 Mac 1946. Selepas itu kembali semula ke kampus Masjid Muhammadi.

Antara murid-murid jempolannya: Dato' Hj Ismail Yusoff ( Mufti Kerajaan Kelantan ), Ustaz Dato' Yusoff Zaky Yaakub ( pengarang terkemuka dan penterjemah Tafsir fi Zilal al-Quran ), Ustaz Ismail Yusoff ( Imam Waktu Masjid Muhammadi ), Ustaz Wan Mohd Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz Azhari Abdul Rahman Melor, Hj Abdul Aziz dan Hj Mustafa Pasir Tumboh, Hj Zakaria Selising, Hj Daud Getting, Hj Daud Perakap, Hj Nik Daud Tanah Merah, Hj Wan Abdul Latif Jerteh, Hj Abdul Wahid Sungai Udang ( Melaka ), Hj Abdul Rashid Bagan Datok Perak dan Hj Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh ( Kedah ).

Ulama kesayangan Dato' Mufti Haji Ahmad Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kg Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis 11 Rejab 1388 bersamaan 3 Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas tentang ilmu soraf dan terjemahan Surah Yassin.


Haji Abdullah Tahir Bunut Payong
(Haji Abdullah Tahir Bin Haji Ahmad)

Salah seorang ulama besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal ke seluruh Semenanjung itu. Seangkatan dengan Haji Ali Pulau Pisang, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Ahmad Batu Tiga Repek, Haji Saleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897 , bapanya Hj. Ahmad Mohd Zain yang berasal dari Kg. Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar , Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah mendalami pengajiannya . Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamanil, Syeikh Mohd. Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.Bagaimanapun , khidmatnya tidak lama kerana pada1931 , beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiridi Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok Semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang barpretasi tinggi di Kelantan.

Di Pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas. Kerana kegigihannya yang sedimikian maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Husian Rahimi , Hj. Nik Man Sungai Budor ,Hj. Abdul Aziz Pasir Tumboh, Hj. Ismail Padang Lepai , Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulai Chondong, HJ. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiong, Hj. Yahya Joned Gurun , Hj. Ibrahim Bongek , Hj. Abdul Wahid Sungai Udang ,Hj. Husain Umbai , Hj. Ahmad Relai , Hj. Hasanuddin Berhala Gentang , Hj. Ismail Phuket , Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau di lantik menggotai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantanbeberapa pengawal (seawal 1932). Kematian fuqaha inipada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah ialaminya.


Haji Awang Lambor
(Haji Abdullah Haji Omar)

Salah seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud Getting dan Haji Pak Man Berangan.

Nama sebenar tokoh ulama yang dilahirkan di Kg. Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu, sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin Haji Omar.

Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman-lepasan pondok di Patani-ialah seorang Khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji Yusuf bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir Mas. Datuknya Haji abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman, adalah iman perintis di surau Mukim Jal Kecik. Beliau sendiri bersepupu dengan Hajjah Zainab bt Haji Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Mohd Zain Meranti, guru awalnya. Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin haji Yusoff , Imam Mukim meranti yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua pupu dengan Tuan Guru haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah , Bunut Susu (meninggal 2 Ogos 1931).

Manakala Pak Chu Haji Amat Saman bin Haji Abu, guru Al-Quran ternama di kawasan Lambor/ Kubang Batang sebelum bah Air Merah (1926) itu pula ialah abang iparnya. Kerana latarbelakang keluarga yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi.

Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong, Beliau pergi menamat di Kota Makkah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggoro, Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.

Pada 1934, pulang ke Kelantan lalu mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat di Legor, Thailand), Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya Ular di Bunut Susu), Haji Mohd Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Che Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu), Haji Yaakub Awang, Kg Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif, Kg Meranti Besar.

Tuan Guru Haji Awang Lambor berpulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu 27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.


Haji Saad Kankong
(Haji As'ad Bin Haji Daud)

Imam waktu Perintis di Masjid Besar Kota Bharu. Guru Kitab arab paling muda di Halaqat kitab Masjid Muhammadi. Rakan setugas haji Yaakub Legor dan Haji Yaakub Lorong Gajah Mati.

Nama penuhnya ialah Haji As'ad bin Haji Daud berasal dari Kampung Kangkong, Pasir Mas, Kelantan.

Beliau tidak jemu-jemu belajar dan mengajar, semenjak muda sampai beliau tua. Guru guru utamanya termasuk Tok Kenali, Haji Ahmad Hafiz, Mufti Haji Wan Musa dan anaknya, Haji Nik Abdullah. Juga disebut-sebut pernah menuntut di Makkah selama tujuh tahun.

Apabila pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan. (MAIK) memperkenalkan jawatan Imam Sembahyang Waktu di Masjid Besar Kota Bharu (sekarang Masjid Muhammadi) beliau terpilih sebagai penyandang pertamanya berkhidmat mulai 19 Jun 1927 hingga 31 Disember 1930 bergaji RM 15 sebulan.

Sepanjang dasarwarsa 1930-an, beliau bertugas sepenuh masa sebagai guru kita Arab di masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) bergaji RM30 sebulan dan meningkat ke RM 40 apabila bertukar ke Jami'merbau al-ismail (sejak awal 1941) Haji Saad menggalakkan murid muridnya supaya membaca akhbar dan majalah bagi menambah ilmu pengetahuan . Antara murid murid kenamaanya termasuk Dato' Haji Ismail ( Mufti Kerajaan Kelantan ) , Haji Abdul Rahman Lubok Tapah, Haji Nik Man Sungai Budor, Haji Awang Beta, Haji Yusuf Tasik Berangan, Haji Nik Daud Tanah Merah, Haji Osman Padang Siam, Haji Ibrahim Apa-Apa , Haji Ismail Kampung Talak, Haji Che Mat Padang Upeh, Haji Yaakub Wakaf Baharu , Haji Abdullah Kampung Laut, Haji Abdullah Aur Cina, Haji Abdullah Gemuk (Hutan Pasir), haji Mohd Amin Tok Bachok ( Qadhi ), haji Mstafa Idris ( Psesara Timbalan Qadhi Besar Kelantan ) , Ustaz Haji Wan Ahmad kampung Menuang, Haji Yaakub Kg. Sireh ( Pegawai Agama MAIK ), Haji Abdul Syukur Kubang Gendang ( Kemudian menjadi menantunya) , Haji Abdul Wahid Sungai Udang ( Melaka ), Haji Husein Hafiz Umbai ( Melaka ), Ahmad Zaini Haji Tahir Asahan ( Sumatera ) dan Haji Shuaib Ahmad Pulau Kerengga , Marang ( Terengganu ).

Sebagai mana rakan rakan seperjuangannya beliau turut dilantik menjadi ahli (mesyuarat ) Majlis Agama Islam Kelantan ( 1940 ) . Tuan Guru Haji Saad Kangkong ditakdirkan meninggal dunia secara mengejut dirumahnya sekitar jam 11 pagi 22 Jamadil Akhir 1362 bersamaan 12 Jun 1943. Bakat beliau dalam kegiatan dakwah kini diwarisi cucunya Dr. Abdul Hayie Abdul Shukor ( Pensyarah Akedemi Pengajian Islam Universiti Malaya. )


Haji Yaakub Lorong Gajah Mati
(Haji Yaakub Bin Haji Ahmad)

Salah seorang guru gama paling terkemuka diKota Bharu pada suku kedua abad ke 20 masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang , Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dll.

Nama lengkap tokoh ulamak yang berkediaman di Lorong Gajah Mati , Kota Bharu ini ialah Haji Yaakub bin Haji Ahmad.

Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1992, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah ( Sekolah Melayu Majlis ) dengan gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun ( mulai ( mulai1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Majlis Muhammadi ( nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat kepada RM 28 sebulan . Seterusnya mulai 1 Januari 1940 bertukar ke Jami' Merbau al-Ismaili ( nama awal Maahad Muhammadi ) aabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah kesitu. Gaji bulanannya ( sejak awal 1940 ) ialah RM34 dan beliau kekal berkhidmat disitu sehingga 1945.

Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama nama seperti Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz ( Menteri Besar Kelantan sekarang ), Dato' Haji Ismail Yusoff ( bekas mufti kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Haji Syed Hassan Lemal, Tuan Guru Haji Awang Nuh Beris Kubur Besar, Ustaz Wan Muhd Saghir Kg. Baru , Pasir Pekan , Tuan Guru Haji Abdul Wahid Subgai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Haji Ahmad Osman, Hutan Palas , Bukit Keplu , Kodiang ( Kedah ). Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik mengganggitai jemaah ulamak MAIK ( seawal 1932 ) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad Al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah dinegeri Kelantan) tetapi kemudian mengubah sikap iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadis di Kelantan.

Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu 6 Jamadil awal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan antara lain tiga orang putera yang dikenali ramai :- Dato Haji Hussin ( ahli perniagaan ) - pewakaf Masjid Al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda , Kota Bharu. Haji Hassan ( Pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman Kota Bharu ) Ustaz Yusoff Zaky @ Dato' Sri Setia Panglima Di Raja ( pengarang terkemuka pengasas Pustaka Dian Kota Bharu dan Perterjemah Tafsir fi Zilal al- Quran.)


Haji Ismail Pontianak
(Haji Ismail Bin Haji Abdul Majid)

Tokoh ulama perantau. 'Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular.Lahir sezaman dengan Mufti Haji Idris, Dato Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani.

Nama penuhnya ialah Haji Ismail bin Haji Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak - berkhidmat selama suku abad (1910 - 1935).

Meskipun demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan.Kerjaya awal tokoh lepasan Makkah ini dalam Perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) BERMULA PADA 1Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami' Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan $47.50 sebulan.Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama MAIK (10 April 1940 hingga 8 Februari 1947).Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).

Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.Berbeza dengan tok-tok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan.Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan.Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa "segar" bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk.Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di Istana baginda.

Khatib panutan ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang - kampung asalnya.

Satu-satu pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka iaitu sebuah karya "bunga rampai".


Tok Selehong
(Haji Abdul Rahman Bin Haji Osman)

Tokoh guru pondok yang paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.

Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Osman. Kadang-kadang dipanggil juga dengan nama Haji Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair.

Seorang daripada guru awalnya tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kamudian menyambung belajar di pondok Cha-ok, Petani berguru dengan Tok Cha-ok @ Haji Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di kota Makkah - berguru dengan Pak Chik Wan Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, pulang ke tanah air (1921) lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah ihsannuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn Ata'Allah sebagi teks utama. Tok Seleong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid. Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubung khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran pondok Selehong yang dijadikan semacam kamar khusus tempat belau beribadat dan bersuluk.

Hobi tok guru yang pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar memukat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayan jantan laklung persis orang pelihara ayam serama zaman kini. Bapa mertua kepada Tuan-tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan Haji Awang. Beliau kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Favruaru 1935 dan dikebumikan di Kubur Selehong, Tumpat. Kegiatan dakwah Islamiahnya diteruskan oleh murid-muridnya hingga kehari ini.

Antara yang mashur termasuklah Pak Cu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong, Haji Pak Man Berangan, Haji Che Mamat Kok Keli, Haji Awang Lambor, Haji Yaakub Wakaf Bharu, Haji Abdul Rahman Dalam Pator, Haji Abdul Rahman Tendong, Haji Abdul Rahman Pohon Tanjong, Hj. Abdullah Tal Tujoh, Hj Che Mat Padang Upeh, Hj. Abdul Aziz Kg. Tujoh, Hj. Mat Bola Geting, Hj. Saleh Pedada Bunohan, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj. Abdul Kadir Gaal, Yb Hj. Muhammad Batu Hitam dan Hj. Wan Abdul Latif Jerteh (Terengganu).


Haji Daud Bukit Abal
(Haji Daud Samsuddin Bin Haji Omar al-Libadi)

Syeikh tarekat Ahmadiyah terpenting di rantau ini selepas generasi Mufti Haji Wan Musa/Sidi Muhammad al-Azhari/Syeikh Mohd Said Linggi. Adik kandung Tuan Guru Haji Mat Limbat/Gong Kemudu.

Nama penuh ahli sufi ini ialah Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Lahir di Kg. Kerasak, Limbat, Kota Bharu sekitar 1903. Ibunya, Wan Halimah bt. Hj. Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya, Haji Omar bin Haji Taib berasal dari Kg. Mentera, Bukit Marak.

Antara guru-guru awalnya, Haji Awang Limbat,Haji Sulaiman Kubang Kachang,Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib,Yaakub Legordan Tok Khurasan.

Di kota Makkah pula, antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan SyiekOmar Hamdan, Syiek Mohd . Ali al-Maliki , Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari Syeikh Mohd. Shafie kedah(tok Shafie). Kedua-dua penama akhir inilah yang banyak mencurahkan amalan terekat Ahmadiyah (termasuk ilmu Ihsanudin) kepadanya.

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan- mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu usuludin, furu'uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengamalan zikir terekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-Fawaid (cetakan pertama 1965), dan pada awal 1970-an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.

Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.

Warisan ilmunya kini desebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti tuan Guru haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hasan Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs Abdul Rahman haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof Dr. hamdan Hassan (Universiti Brunei Darussalam)


Mufti Haji Wan Musa
(Haji Wan Musa Bin Haji Abdul Samad)

Ahli tasawuf berpendirian tegas.Bergiat berzaman dengan Tok Selehong,Haji. Che Leh Kg Laut,Tengku Mahmud [Syeikhul Islam Selangor].Putera kedua TuanTabal dan adik kandung Mufti Haji Wan Muhammad,juga abang kepada Haji Nik Abdullah Khatib.

Nama penuhnya ialah Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad.Bapanya,Haji Abdul Samad bin Mohd Saleh al-Kalatani[lebih masyur dengan gelaran Tuan Tabal] ialah penyebar printis tarekat Ahmadiyah di rantau ini,juga tergolong ulama pengarang yang banyak menulis kitab jawi -terpentingnya Minhat al-Qarib [1883].

Haji Wan Musa adalah seorang rakan seperguruan Tok Kenali ,terkenal denga fikiran-fikiran yang berani tetapi kontroversi. Namun, beliau terpilih dan ditawarkan jawatan Mufti Kerajaan Kelantan selepas penguduran Mufti Haji Wan Ishak pada awal 1909.

Sikapnya yang tegas serta pandangan-pandangan nya yang cenderong kepada reformasi telah menyerat beliau ke kancah pertelagahan pendapat dengan tokoh-tokoh "Kaum Tua" seperti Haji Omar Sungai Keladi ,Haji Ibrahim Tok Raja ,Haji Ismail Kemuning dan Haji Ahmad Abdul Mannan. Di luar Kelantan pula, beliau pernah berpolemik dengan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani -penulis Tazkiyat al-Anzar (1920) yang menghujah balas pendapat Haji Wan Musa. Antara persoalan kontroversi yang berbangkit sehubungan dengan pendapat beliau ialah isu membina masjid dengan harta zakat fitrah, hal muqaranah sembahyang, talqin, kain telekung sembahyang, telfiq mazhab, pemindahan harta wakaf/pusaka dan perbahasan jilatan anjing. Keyakinannya kepada pendapat-pendapat yang pernah diluahkannya serta partelingkahannya yang lama dengan tokoh-tokoh "Kaum Tua" menyebabkan beliau melepaskan jawatan Mufti pada pertengahan 1916.

Sebagai tokoh berwibawa, halaqat pengajian disuraunya diJalan Merbau,Kota Bharu berjaya melahirkan ramai pendakwah pelapis yang mampu mengajar baik di sekolah pondok mahupun di sekolah moden. Mereka termasuk Hj. Saad Kangkong Pak Su Wan Adam Kg. Laut,Hj. Mohd Zain Meranti,Hj. Nik Mat Alim Pulau Melaka, Hj. Abdul Wahid Melaka, Hj. Ahmad Perak dan Hj. Ayyub Kemboja.Putera-putera beliau sendiri pun tergolong alim ulama yang disegani.Antara tokoh-tokoh yang dimaksudkan ialah Hj.Nik Abdullah, Hj. Nik Mat Nazir ,Hj. Nik Mud , Hj. Nik Leh dan Hj. Nik Mat Din.Pusaka lainnya ialah dua buah risalah terjemahan yang selesai disusun seawal 1906 lagi. Mufti Haji Wan Musa kembali ke alam baka pada 3.00 petang Sabtu 24 Zulkaedah 1357 bertepatan 14 Januari 1939 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kg. Banggol, Jalan PCB, Kota Bharu .


Haji Seman Sering
(Haji Osman Bin Muhammad)

Salah seorang guru pondok dan ulamak pengarang tersohor di Semenanjung Melayu pada suku abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Tok Seridik, Haji Ismail Pontianak , Haji Omar Banggol Kulim , Dato' Perdana, Haji Mat Jebeng. Beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi juga terbilang di Makkah.

Nama penuh tokoh ulamak kelahiran Kg. Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan Kota Bharu / Bachok pada penghujung tahun 129 H/1880 M ini ialah Haji Osman bin Muhammad. Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau lebih dikenali dengan panggilan Haji Seman Sering.

Beliau termasuk dalam kumpulan murid kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru dengan Haji Jamaluddin Perupok dan Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Di makkah pula , beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor ( Syeikh Mohd mukhtar bin Atarid ) yang ternama itu.

Namanya mula timbul selepas kejayaan beliau mendirikan Madrasah Manabi al- Ulum (1932) di Penanti, bukit Mertajam. Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai, khususnya pada dasawarsa 1930-an dan 1940-an.

Sebagai pendidik yang dedikasi, beliau banyak menghasilkan karya-karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Usman bukan sahaja berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karangan tetapi juga selalu memilih topik yang berkait rapat dengan persoalan yang dihadapi oleh masyarakat . Kitab Durrat al Nafi'ah ( Alamat Kiamat ) karangannya meletakkan beliau sebagai sasterawan yang berpandangan jauh kerana ia dianggap buku berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan perihal tanda tanda dunia hampir kiamat.

Disamping itu, Syeikh Osman kerap berulang alik ke Makkah dan diberi kepercayaan mengajar di Masjidil Haram . Sebab itu muridnya ramai. Mereka termasuk Haji Abdul Rahman Sungai Durian, Haji Abdul Rahman Lubok Tapah, Haji Abdullah Lati, Haji Abdullah Kg. Laut, Haji Hassan Ketereh, Haji Abu Bakar Bukit Tiu, Haji Mohd Ibrahim Akibi Pulau Pinang, Haji Ismail Merbok, Haji Hussein Umbai, Haji abdul Ghani Kubang Bembandan diantara masih ada lagi ialah Ustaz Abdul kadir Kamaluddin ( lahir 1921 ) , Ketapang Tengah, pekan, Pahang.

Tokoh yang amat mementingkan istiqamah dan disiplin diri ini ditakdirkan meninggal dunia di tanah suci di makkah waktu fajar pada hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September 1952.


hasil tulisan: Ismail Che Daud (SUMBER)

2 comments:

Unknown said...

ada tak kisah mengenai ulama tuan Haji Nikman Sungai Budor?

Unknown said...

Ada...terlalu sedikit kisah hidup nya..dia wsfat pd usia yg agak muda..ulama kelantan ygvpaling handsome

Post a Comment